Pasaran saham Wall Street mengalami tekanan pembetulan ketara pada sesi dagangan hari Rabu, sekali gus memadamkan sebahagian momentum kenaikan sehari selepas indeks S&P 500 mencatatkan rekod tertinggi sepanjang masa melepasi 7,800 mata. Indeks Dow Jones Industrial Average merosot sebanyak 451 mata atau 0.9%, manakala S&P 500 menyusut 0.6% dan indeks berwajaran teknologi Nasdaq Composite tergelincir 0.9% susulan tekanan serentak daripada pasaran komoditi dan pasaran hutang berdaulat.
Pencetus utama kepada kejatuhan pasaran saham adalah kebangkitan semula harga minyak mentah dunia yang kembali mencetuskan kebimbangan terhadap inflasi tolakan kos. Pasaran niaga hadapan minyak mentah Brent melepasi semula paras psikologi kepada sekitar $102 setong dengan kenaikan hampir 1%, manakala penanda aras West Texas Intermediate (WTI) A.S. melonjak 1% untuk didagangkan semula di atas $90 setong. Situasi ini secara tidak langsung membatalkan penyejukan harga yang sempat dinikmati pada sesi terdahulu.
Lonjakan kos tenaga ini serta-merta mencetuskan gelombang jualan dalam pasaran pendapatan tetap, menolak hasil bon Perbendaharaan A.S. ke rekod tertinggi dalam tempoh 24 tahun. Hasil nota penanda aras 10 tahun melonjak melebihi 8 mata asas kepada 5.356% dimana ia merupakan paras kemuncak yang tidak pernah disaksikan sejak April 2002. Manakala hasil bon jangka panjang 30 tahun meledak ke paras 5.725%, iaitu rekod tertinggi sejak Mei 2002.
Kenaikan mendadak hasil bon ini diburukkan lagi oleh faktor penawaran hutang baharu, di mana Jabatan Perbendaharaan A.S. dijadualkan melancarkan lelongan nota 10 tahun bernilai $39 bilion pada sesi yang sama. Lebihan penawaran bon kerajaan di pasaran terus mendesak pelabur menuntut kadar pulangan kupon yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan kos pinjaman korporat dan menekan penilaian harga saham syarikat pertumbuhan tinggi.
Di sebalik pembetulan intradagang ini, Ketua Pegawai Pelaburan Laffer Tengler, Nancy Tengler, menegaskan bahawa kitaran pasaran bull semasa masih mampan berikuta




















































