Ramai orang ingin melabur untuk mengembangkan simpanan mereka, namun tidak semua sanggup mengambil risiko yang tinggi.
Bagi mereka yang mengutamakan keselamatan modal, terdapat beberapa pilihan pelaburan berisiko rendah yang sesuai untuk membina kekayaan secara beransur-ansur.
Walaupun pulangannya mungkin tidak setinggi pelaburan yang lebih agresif, pilihan ini biasanya menawarkan kestabilan yang lebih baik dan sesuai untuk pelabur baharu.
1. Amanah Saham Bumiputera (ASB)
ASB sering menjadi pilihan rakyat Malaysia kerana menawarkan pulangan yang agak konsisten serta risiko yang rendah. Selain itu, modal pelaburan boleh dikeluarkan apabila diperlukan, menjadikannya pilihan yang fleksibel untuk simpanan jangka sederhana dan panjang.
2.Tabung Haji.
Selain berfungsi sebagai simpanan untuk menunaikan ibadah haji, Tabung Haji turut menawarkan agihan keuntungan tahunan kepada pendeposit. Dana yang disimpan diuruskan mengikut prinsip syariah dan dianggap sebagai antara instrumen simpanan yang stabil bagi pelabur Islam di Malaysia.
3. Deposit tetap (Fixed Deposit atau FD)
Ia ditawarkan oleh bank-bank tempatan juga merupakan pelaburan berisiko rendah. Wang disimpan untuk tempoh tertentu dan pelabur menerima kadar faedah yang telah ditetapkan. Walaupun pulangannya tidak begitu tinggi, deposit tetap memberi jaminan yang lebih baik berbanding kebanyakan pelaburan lain.
4. Instrumen pelaburan kerajaan
Instrumen ini diterbitkan oleh kerajaan untuk mendapatkan dana bagi pelbagai projek pembangunan.
Oleh kerana ia disokong oleh kerajaan, risiko kegagalan pembayaran adalah lebih rendah berbanding kebanyakan instrumen pelaburan lain.
5. Dana pasaran wang (money market fund)
Dana ini melabur dalam instrumen kewangan jangka pendek yang mempunyai risiko rendah seperti deposit bank dan kertas komersial.
Ia sering digunakan sebagai tempat menyimpan dana kecemasan kerana nilainya lebih stabil dan mudah dicairkan.
Walaupun pelaburan berisiko rendah menawarkan pulangan yang lebih sederhana, ia tetap memainkan peranan penting dalam perancangan kewangan.
Dengan memilih instrumen yang sesuai mengikut matlamat dan tahap toleransi risiko, rakyat Malaysia dapat membina simpanan yang lebih kukuh sambil mengurangkan risiko kerugian yang besar.





























































