Kegiatan perlombongan Bitcoin secara haram yang menggunakan bekalan elektrik dicuri berjaya ditumpaskan dalam satu operasi di Bandar Seri Iskandar, Perak.
Dalam serbuan itu, polis merampas 62 mesin perlombongan Bitcoin yang dipercayai beroperasi menggunakan sambungan elektrik secara haram.
Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah bersama pasukan SEAL Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Utara itu menyerbu dua premis di Persiaran SIBC hasil risikan dan maklumat yang diterima.
Siasatan awal mendapati kedua-dua premis tersebut dipercayai dijadikan pusat perlombongan mata wang kripto dengan menggunakan sambungan bekalan elektrik tanpa meter sah milik TNB.
Selain 62 mesin perlombongan Bitcoin jenama Avalon Miner, polis turut merampas dua unit penghala internet, empat unit suis rangkaian komputer serta dua gulung kabel elektrik.
Kesemua barang rampasan telah dibawa ke stor barang kes IPD Perak Tengah bagi membantu siasatan lanjut.
Setakat ini, tiada individu ditahan dan usaha mengesan suspek serta mengenal pasti pemilik premis masih diteruskan.
TNB menganggarkan kerugian akibat kecurian bekalan elektrik bagi operasi tersebut mencecah kira-kira RM60,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.
Pihak polis menegaskan aktiviti perlombongan mata wang kripto yang menggunakan bekalan elektrik secara haram bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada TNB, malah meningkatkan risiko kebakaran dan mengancam keselamatan orang awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perlombongan Bitcoin haram atau kecurian bekalan elektrik diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan atau boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Perak Tengah di talian 05-3712222.






















































