IG Metall, kesatuan pekerja terbesar Jerman, memanggil lebih 23,000 pekerja dari 19 syarikat di utara Jerman untuk mogok 24 jam dalam tuntutan gaji dan jaminan pekerjaan. Antara syarikat terlibat ialah Mercedes‑Benz, Meyer Werft (pembuatan kapal) dan Siemens Gamesa (tenaga angin).
Kesatuan menuntut kenaikan gaji 5% atau, jika majikan mahu pengecualian daripada perjanjian industri, komitmen bertulis mengenai pelaburan, produk, lokasi kilang dan penjagaan pekerjaan.
Majikan pula mencadangkan tiada kenaikan tetap selama 20 bulan pertama dan hanya 1.3% dari Julai 2028.
IG Metall berkata tindakan itu bertujuan meningkatkan tekanan kepada majikan selepas tindakan amaran sebelum ini apabila pihak majikan menyifatkan mogok lanjutan sebagai merugikan dan tidak membantu. Rundingan seterusnya masih belum dipersetujui.
Kenapa pekerja menuntut kenaikan ketika ekonomi Jerman lemah?
Jerman sedang menghadapi tekanan dalam sektor pembuatan, khususnya industri automotif yang terpaksa bersaing dengan pengeluar China, menanggung kos tenaga tinggi dan berdepan permintaan yang lemah.
Dari sudut majikan, menaikkan gaji akan meningkatkan kos pengeluaran ketika keuntungan dan jualan tertekan.
Namun dari sudut pekerja, harga barangan, perumahan dan perkhidmatan sudah meningkat sejak beberapa tahun lalu. Mereka mahu kuasa beli dipulihkan.
Mogok yang berpanjangan akan mengganggu operasi kilang dan menjejaslan rantaian bekalan.

















































