Jumlah mangsa banjir di Selangor terus meningkat pagi ini, manakala Perak mencatat penurunan. Sementara itu, dua pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka di Negeri Sembilan, dan jumlah mangsa di Pahang meningkat sedikit.
Selangor Hampiri 1,900 Mangsa
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa di Selangor meningkat kepada 1,897 orang daripada 518 keluarga, berbanding 1,665 orang daripada 444 keluarga semalam. Kesemua mereka ditempatkan di 14 PPS.
SK Dato’ Maharaja Lela menempatkan mangsa paling ramai, iaitu 394 orang, diikuti SK Parit Mahang dengan 365 orang dan Sekolah Rendah Agama Bukit Kuching seramai 236 orang.
Perak Catat Penurunan
Sebaliknya, jumlah mangsa di Perak berkurangan kepada 635 orang daripada 223 keluarga, berbanding 666 orang daripada 236 keluarga petang semalam. Mereka berlindung di lapan PPS merentasi lima daerah.
Kerian merekodkan 160 mangsa, termasuk 12 mangsa tanah runtuh, diikuti Larut, Matang dan Selama dengan 155 orang, Manjung sebanyak 131 orang, Hilir Perak seramai 97 orang serta Perak Tengah dengan 92 orang.
Bagaimanapun, MetMalaysia menjangkakan ribut petir dan hujan pada sebelah petang serta malam di semua daerah di Perak, selepas cuaca baik pada waktu pagi.
Dua PPS Dibuka Di Port Dickson
Di Negeri Sembilan pula, dua PPS dibuka di SK Jimah dan Balai Raya Kampung Linggi, Port Dickson. Setakat jam 7.22 pagi, kedua-duanya menempatkan 58 mangsa daripada 17 keluarga, termasuk 23 kanak-kanak.
Sementara itu, jumlah mangsa di Bentong, Pahang, meningkat sedikit kepada 164 orang daripada 51 keluarga, berbanding 163 orang daripada 50 keluarga petang semalam. Semua mangsa ditempatkan di SMK Karak Setia.






















































