Gamuda Bhd menerusi usaha sama dengan Feng Shun Construction Co Ltd memperoleh kontrak bernilai NT$21.02 bilion, atau kira-kira RM2.61 bilion, bagi projek MRT Bawah Tanah Keelung di Taiwan. Usaha sama dengan syarikat berpangkalan di Taiwan itu melibatkan nisbah penyertaan 80:20, dengan Gamuda memegang bahagian lebih besar.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda menyatakan kontrak reka bentuk dan pembinaan tersebut diberikan oleh Jabatan Sistem Transit Aliran Massa, Kerajaan Bandar Raya New Taipei pada 16 November 2026. Projek itu merangkumi pembinaan laluan bawah tanah sepanjang 2.4 kilometer dari Daerah Nangang di Bandar Raya Taipei hingga Daerah Xizhi di Bandar Raya New Taipei, termasuk dua stesen bawah tanah.
Menurut Gamuda, projek tersebut turut menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui penggunaan bahan mesra alam, sistem cekap tenaga serta amalan pembinaan lestari. Kerja pembinaan dijangka siap dalam tempoh 7.4 tahun.
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan syarikat mulai tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027 sehingga projek siap.






















































