Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan urus niaga komersial dan pelaburan strategik bernilai lebih US$17 bilion (RM69.9 bilion) untuk syarikat AS di Asia Tenggara, menurut Rumah Putih. Pengumuman itu menyusuli lawatan kerja dua hari beliau ke Filipina bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.
Antara urus niaga utama ialah penjualan 20 pesawat Boeing 787 kepada Philippine Airlines bernilai US$12 bilion yang dimuktamadkan Boeing dan GE Aerospace. Washington dan Manila turut berusaha mendapatkan pembiayaan AS melebihi US$2 bilion bagi pembelian pertahanan Filipina, manakala AS akan menyediakan US$400 juta untuk menyokong operasi ketenteraan di Laut China Selatan.
Di Malaysia, Navajo Transitional Energy Company menandatangani perjanjian tiga tahun bernilai US$100 juta untuk membekalkan arang batu kepada sebuah unit Tenaga Nasional Bhd. Secara berasingan, pengawal selia komunikasi Malaysia memaklumkan bahawa konsortium AS akan membantu kerajaan membangunkan awan kecerdasan buatan (AI) berdaulat, dengan Washington menawarkan sokongan US$50 juta.
Thailand pula merancang membelanjakan sehingga US$123 juta bagi sistem roket artileri HIMARS buatan AS. Di Indonesia, Latitude Energy dan Danantara sedang merundingkan projek arang batu bernilai US$2 bilion.
Unified National Networks di Brunei merancang memberikan tender pusat data kepada Vertiv, dengan perbelanjaan hampir US$1 bilion diperoleh daripada pembekal AS.
























































