Permohonan Dibuka Dalam Versi Baharu
Rakyat Malaysia kini boleh memohon pembaharuan pasport melalui aplikasi MyGOV Malaysia versi 2.1.4. Pengguna boleh menghantar permohonan, membuat bayaran dalam talian dan memilih pejabat Jabatan Imigresen untuk mengambil pasport.
Namun, pada peringkat awal, kemudahan pengambilan hanya tersedia di Pejabat Imigresen Shaftsbury, Putrajaya. Kementerian Digital berkata lokasi lain akan ditambah secara berperingkat.
Aplikasi Turut Sediakan Makluman Kerajaan
Kemas kini itu turut membolehkan pengguna menerima pengumuman, maklumat program dan amaran penting terus daripada kementerian, jabatan serta agensi kerajaan.
Cari Pusat Nadi Berdekatan
MyGOV Malaysia kini mempunyai fungsi untuk mencari Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) berdekatan. Pusat di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu menyediakan kemudahan dan program percuma, termasuk akses internet, saringan kesihatan dan Tuisyen Rakyat.
Menurut kementerian, inisiatif ini bertujuan meluaskan akses digital, meningkatkan kemahiran digital dan menyokong peluang pembelajaran komuniti. Pengguna boleh mengemas kini aplikasi melalui Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery.

























































