Kerajaan dijangka membentangkan Bajet 2027 di Parlimen pada awal Oktober. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses merangka bajet itu telah bermula dan kini sedang diperhalusi oleh kerajaan.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, Bajet 2027 bukan sekadar memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi perlu memastikan manfaat pertumbuhan tersebut dapat diterjemahkan kepada taraf hidup yang lebih baik, keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa disiplin fiskal dan prestasi ekonomi kekal penting, namun ia bukan satu-satunya ukuran kejayaan negara. Dasar ekonomi juga perlu selari dengan prinsip Malaysia MADANI, termasuk aspek tadbir urus yang berintegriti dan pembangunan yang lebih inklusif.
Anwar berkata, kemakmuran negara perlu diterjemahkan melalui gaji yang lebih baik, peluang pekerjaan berkualiti, perumahan mampu milik, akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan berkualiti serta mobiliti sosial yang lebih tinggi.
Beliau turut menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi perlu dinilai berdasarkan sejauh mana ia mampu memperluaskan peluang kepada rakyat, mengurangkan jurang pendapatan dan memastikan teknologi digunakan untuk memperkasakan tenaga kerja, bukannya menggantikan mereka.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Wacana Global Ekonomi Berperikemanusiaan 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Sebagai rekod, Bajet 2026 yang dibentangkan tahun lalu merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara dengan peruntukan sebanyak RM470 bilion.
























































