XAU/USD meningkat melebihi $4,100 di tengah-tengah konflik Selat Hormuz masih memanas. Bullion itu kembali mengukuh selepas pulih daripada paras psikologi $4,000, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap aset selamat.
Pada jam 9 pagi, harga emas didagangkan pada paras $4,114 iaitu positif 0.91% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia
Pemulihan harga emas berlaku ketika ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran terus memuncak. Konflik yang semakin berlarutan meningkatkan ketidaktentuan pasaran, sekali gus mendorong pelabur kembali membeli emas sebagai aset perlindungan.
Penganalisis bagaimanapun berpandangan kenaikan ini bukan didorong oleh perkembangan baharu, sebaliknya lebih kepada aktiviti pembelian selepas harga emas mengalami penurunan sebelum ini. Faktor asas pasaran dilihat masih belum banyak berubah.
Dalam perkembangan terkini, Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) dilaporkan meneruskan serangan malam ke-11 berturut-turut ke atas Iran selepas Presiden Donald Trump mengisytiharkan gencatan senjata telah berakhir.
Pada masa sama, Iran dilaporkan meningkatkan serangan terhadap aset ketenteraan AS di Timur Tengah, manakala kumpulan Houthi mengumumkan embargo maritim ke atas Arab Saudi.
Pasaran kini memberi tumpuan kepada kesan konflik tersebut terhadap harga tenaga global. Jika harga minyak terus meningkat dan mendorong inflasi lebih tinggi, Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin terpaksa mengekalkan dasar monetari yang ketat lebih lama.
Walaupun data inflasi AS baru-baru ini menunjukkan tekanan harga semakin reda, pasaran masih menjangkakan Fed berkemungkinan melaksanakan sekurang-kurangnya satu lagi kenaikan kadar faedah sebelum akhir tahun.
Perkembangan ini dijangka terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi hala tuju harga emas dalam tempoh terdekat.






















































