Amerika Syarikat melancarkan amaran ketenteraan terbaharu apabila Presiden Donald Trump berikrar akan memusnahkan satu stesen janakuasa atau jambatan di Iran bagi setiap serangan yang dilancarkan terhadap kapal di Selat Hormuz. Amaran keras ini dikeluarkan di sebalik siri serangan udara malam ke-11 berturut-turut yang dilancarkan oleh tentera AS ke atas pelbagai sasaran di wilayah Iran.
Setiausaha Negara AS Marco Rubio mendakwa Tehran tidak serius dalam meneruskan rundingan damai, walaupun perantara dari Pakistan cuba menghidupkan semula rundingan gencatan senjata 10 hari. Rubio turut menegaskan bahawa AS tidak akan membiarkan Iran menguasai Selat Hormuz berikutan risiko mewujudkan ‘presiden’ berbahaya kepada laluan perkapalan global lain seperti di Laut China Selatan.
Situasi pertempuran dijangka menjadi lebih parah selepas Trump mengancam untuk menyerang kemudahan pengayaan uranium Iran di “Pickaxe Mountain”. Langkah ini mendapat tindak balas keras daripada Tehran yang memberi amaran bahawa sebarang pencerobohan ke atas fasiliti nuklearnya akan mencetuskan konflik peperangan skala besar di seluruh rantau Timur Tengah.
Konflik berkenaan kini merebak ke zon baharu apabila kumpulan Houthi di Yemen mengancam untuk menyerang mana-mana kapal yang membawa minyak Arab Saudi di Selat Bab el-Mandeb. Mengelak risiko keselamatan, beberapa kapal tangki minyak dilaporkan telah mengubah laluan perkapalan mereka ke Terusan Suez, sekali gus meletakkan harga minyak mentah Brent naik melebihi $93 setong.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth memaklumkan Kongres bahawa kos operasi perang Iran telah mencecah $37.5 bilion bagi tahun fiskal semasa. Permintaan dana tambahan bernilai $90 bilion dipohon bagi menampung kos ketenteraan, walaupun laporan Pentadbiran Pentagon menganggarkan kos sebenar boleh melambung sehingga $100 bilion akibat pembaikan pangkalan tentera yang rosak.
























































