Bitcoin kembali menunjukkan tanda pemulihan apabila meningkat semula ke sekitar $66,300 selepas beberapa minggu berada di bawah tekanan sehingga menghampiri paras $58,000.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin berada di paras $66,123 iaitu menyusut 0.16% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Kenaikan ini memberi nafas baharu kepada pasaran kripto, namun hala tuju seterusnya masih bergantung kepada gabungan faktor teknikal dan perkembangan ekonomi global.
Pergerakan harga Bitcoin ketika ini disokong oleh paras sokongan penting pada 200 Exponential Moving Average (EMA) yang berjaya dipertahankan.
Pemulihan daripada kawasan tersebut menunjukkan pembeli masih aktif mempertahankan trend jangka panjang, sekali gus mengurangkan tekanan jualan yang berlaku sebelum ini.
Walaupun begitu, struktur teknikal keseluruhan masih belum berubah kepada positif.
Penunjuk 50 EMA masih berada di bawah 200 EMA, sekali gus mengekalkan pembentukan Death Cross yang lazimnya dikaitkan dengan trend menurun.
Keadaan ini menunjukkan pasaran masih memerlukan pemangkin yang lebih kukuh sebelum momentum kenaikan benar-benar dapat disahkan.
Dari sudut momentum, bacaan Relative Strength Index (RSI) sekitar 59.9 memberikan petanda yang lebih memberangsangkan.
Bacaan tersebut menunjukkan tekanan belian semakin meningkat tanpa memasuki zon terlebih beli, sekali gus memberi ruang kepada harga untuk meneruskan kenaikan sekiranya sentimen pasaran terus bertambah baik.
Namun begitu, bacaan Average Directional Index (ADX) sekitar 19.5 menunjukkan trend semasa masih lemah.
Walaupun harga berjaya melantun, kekuatan pergerakan itu masih belum cukup kukuh untuk mengesahkan pembentukan trend baharu.
Dalam masa sama, sentimen pelabur institusi masih dilihat berhati-hati.
Coinbase Premium Index kekal berada dalam kawasan negatif sejak Mei lalu, menandakan institusi kewangan di Amerika Syarikat masih belum meningkatkan aktiviti pembelian Bitcoin secara agresif.
Situasi ini lebih dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi global berbanding kelemahan asas pasaran kripto.
Perkembangan positif turut datang daripada Amerika Syarikat apabila Clarity Act dilaporkan semakin hampir diluluskan Kongres.
Rang undang-undang tersebut dijangka memberikan kejelasan terhadap bidang kuasa kawal selia antara Securities and Exchange Commission (SEC) dan Commodity Futures Trading Commission (CFTC).
Sekiranya diluluskan, ia berpotensi meningkatkan keyakinan pelabur institusi terhadap aset digital.
Dalam persekitaran makro pula, pasaran kewangan global masih bergerak berhati-hati apabila pelabur menantikan keputusan kewangan syarikat teknologi utama Amerika Syarikat seperti Alphabet dan Tesla.
Ketidaktentuan ini turut mempengaruhi selera risiko pelabur terhadap aset berisiko termasuk mata wang kripto.
Berdasarkan jangkaan pasaran semasa, kebanyakan pedagang melihat Bitcoin berpotensi terus bergerak dalam julat harga semasa untuk tempoh terdekat.
Walaupun peluang untuk menembusi paras $68,000 masih wujud, momentum kenaikan dilihat belum cukup kukuh selagi pelabur institusi belum kembali memasuki pasaran secara aktif.


















































