Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama pada Rabu, namun hampir tidak berubah berbanding dolar AS apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati susulan ketidaktentuan konflik di Asia Barat.
Pada jam 10 pagi, ringgit berada pada paras RM4.0930 iaitu menyusut 0.15% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ketidaktentuan rundingan damai terus menjadi tumpuan apabila Amerika Syarikat (AS) dan Iran saling melancarkan serangan untuk hari ke-10 berturut-turut.
Beliau berkata, hasil bon Perbendaharaan AS bagi tempoh dua tahun dan 10 tahun masing-masing meningkat sebanyak lima dan empat mata asas kepada 4.26% dan 4.63%, berikutan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) mungkin akan menaikkan kadar faedah.
Menurutnya, keadaan semasa di Asia Barat dijangka menyebabkan pedagang terus berhati-hati, sekali gus menyaksikan ringgit berkemungkinan diniagakan dalam julat RM4.08 hingga RM4.10 sepanjang hari.
Pada awal dagangan, ringgit turut mengukuh berbanding sekumpulan mata wang utama. Ringgit meningkat kepada 4.6596/6653 berbanding euro daripada 4.6682/6727 ketika ditutup pada Selasa.
Ringgit juga mengukuh kepada 2.5046/5078 berbanding yen Jepun daripada 2.5123/5148, selain naik kepada 5.4676/4743 berbanding pound Britain daripada 5.4868/4922.
Berbanding mata wang serantau, prestasi ringgit bercampur-campur.
Ringgit meningkat kepada 3.1631/1672 berbanding dolar Singapura daripada 3.1682/1716, serta mengukuh kepada 12.1139/1352 berbanding baht Thailand daripada 12.1420/1579.
Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 228.4/228.8 dan peso Filipina pada 6.62/6.63. – Bernama
























































