Jenayah berkaitan mata wang kripto kini semakin membimbangkan apabila penjenayah bukan lagi hanya menyasarkan dompet digital, sebaliknya menyerang pemilik aset secara fizikal untuk mendapatkan akses kepada pegangan kripto mereka.
Menurut laporan firma keselamatan blockchain, CertiK, sebanyak 52 serangan fizikal terhadap pemilik aset digital disahkan berlaku di seluruh dunia dalam tempoh enam bulan pertama 2026, meningkat 33% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Perancis merekodkan jumlah tertinggi dengan 33 kes, menjadikannya negara paling terjejas.
Laporan itu menjelaskan bahawa kebanyakan insiden melibatkan ‘wrench attack’, iaitu serangan menggunakan keganasan, ugutan, penculikan atau pencerobohan rumah bagi memaksa mangsa menyerahkan akses kepada dompet kripto.
Jumlah kerugian dan tuntutan wang tebusan turut melonjak kepada kira-kira $124 juta (RM506.8 juta) berbanding hanya $10.5 juta setahun lalu.
CertiK mendapati penjenayah kini lebih terancang dengan menggabungkan rekod transaksi blockchain, pangkalan data yang bocor, media sosial dan rekod awam untuk mengenal pasti mangsa berpotensi.
Maklumat tersebut membolehkan mereka mengesan identiti serta lokasi pemilik kripto sebelum melancarkan serangan.
Pencerobohan rumah menjadi bentuk jenayah yang paling pantas meningkat dengan 20 kes direkodkan dalam enam bulan pertama tahun ini berbanding hanya satu kes pada tempoh sama tahun lalu.
Kes penculikan pula meningkat kepada 16 kes, berbanding 12 kes pada 2025.
Pengasas bersama CertiK, Ronghui Gu, berkata ancaman terhadap pemilik kripto kini merupakan gabungan serangan siber, kejuruteraan sosial dan keganasan fizikal.
Beliau turut menjelaskan bahawa kebocoran data peribadi menjadikan pemilik aset digital lebih mudah dikenal pasti dan disasarkan.
CertiK percaya jumlah sebenar serangan jauh lebih tinggi kerana ramai mangsa tidak membuat laporan akibat bimbang terhadap tindakan balas penjenayah, reputasi serta isu penguatkuasaan.
Perkembangan ini menunjukkan keselamatan pemilik kripto kini bukan sahaja bergantung kepada perlindungan aset digital, malah turut melibatkan keselamatan identiti dan diri di dunia sebenar.

























































