Senat Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbangkan rang undang-undang baharu yang bakal melarang presiden serta pegawai kanan kerajaan persekutuan daripada menerbitkan, menaja atau mempromosikan mata wang kripto dan aset digital sepanjang tempoh mereka memegang jawatan.
Cadangan itu dimasukkan ke dalam Clarity Act, iaitu rang undang-undang yang bertujuan mewujudkan rangka kerja peraturan lebih jelas bagi industri aset digital di AS.
Di bawah cadangan tersebut, Jabatan Kehakiman (DOJ) akan diberi kuasa untuk menguatkuasakan larangan itu.
Mana-mana individu yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga $250,000 sehari, sekali gus menjadikannya antara peruntukan etika paling tegas yang pernah dicadangkan dalam industri kripto.
Cadangan ini turut menarik perhatian kerana melibatkan Presiden Donald Trump yang dilaporkan memperoleh kira-kira $1.2 bilion hasil daripada perniagaan berkaitan kripto sejak kembali ke White House.
Sebahagian besar pendapatan itu dikaitkan dengan World Liberty Financial, syarikat yang diasaskan bersama ahli keluarganya dan mengeluarkan token tadbir urus WLFI serta stablecoin USD1, yang dilancarkan pada Mac 2025.
Walaupun rang undang-undang itu memasukkan larangan terhadap pegawai kerajaan, beberapa senator Demokrat berpendapat peruntukan tersebut masih belum mencukupi.
Mereka berpandangan Trump masih boleh terus memperoleh keuntungan daripada perniagaan kripto sedia ada dan hanya perlu memindahkan pegangan miliknya ke dalam sebuah blind trust dalam tempoh setahun.
Mereka juga mempersoalkan keputusan menyerahkan penguatkuasaan sepenuhnya kepada Jabatan Kehakiman, sebaliknya mencadangkan peguam negara setiap negeri turut diberikan kuasa pemantauan.
Rang undang-undang itu masih berdepan laluan sukar untuk diluluskan kerana memerlukan sekurang-kurangnya 60 undi di Senat.
Dalam masa sama, syarikat kripto seperti Coinbase dan Ripple terus menyokong usaha mewujudkan undang-undang khusus bagi industri aset digital, manakala kumpulan perbankan pula memberi amaran bahawa beberapa peruntukan dalam rang undang-undang itu boleh memberi kesan kepada sistem kewangan dan aktiviti pinjaman di Amerika Syarikat.
























































