Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman kumpulan Houthi untuk menyekat laluan perkapalan di Selat Bab el-Mandeb, dengan memberi amaran bahawa tindakan tersebut boleh menjejaskan rantaian bekalan global, keselamatan tenaga dan ekonomi dunia.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar menegaskan Selat Bab el-Mandeb merupakan laluan strategik yang menghubungkan Asia dan Eropah.
Sebarang gangguan di laluan itu berpotensi memberi kesan besar kepada perdagangan antarabangsa, termasuk negara-negara yang bergantung kepada perdagangan maritim seperti Malaysia.
Wisma Putra menegaskan Malaysia menyokong kebebasan pelayaran dan keselamatan laluan perkapalan antarabangsa selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
Malaysia turut menggesa semua pihak mengelakkan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan di laluan maritim penting tersebut.
Kerajaan juga menyeru semua pihak supaya mengutamakan dialog, diplomasi dan menghormati undang-undang antarabangsa bagi memastikan kestabilan di Asia Barat terus terpelihara.
Dalam masa sama, Malaysia akan terus memantau perkembangan keselamatan di rantau berkenaan melalui misi diplomatiknya serta menasihatkan syarikat perkapalan tempatan supaya sentiasa berwaspada.
Kenyataan itu dibuat selepas Houthi mengumumkan rancangan untuk mengenakan sekatan tentera laut ke atas Arab Saudi.
Menurut Reuters, penutupan penuh Selat Bab el-Mandeb berpotensi mengurangkan bekalan minyak global sebanyak 7%, selain memburukkan lagi gangguan bekalan tenaga dunia yang berpunca daripada konflik berterusan di rantau Teluk.

























































