Perdana Menteri UK, Boris Johnson dipercayai sedang menunggu keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat sebelum akhirnya memutuskan sama ada akan memilih ‘no-deal’ dalam perjanjian perdagangannya dengan Kesatuan Eropah (EU).
Ivan Rogers, yang merupakan wakil tetap UK di Brussels dari 2013 hingga 2017, mengatakan kepada Observer, sebuah akhbar British yang diterbitkan pada Ahad, bahawa beberapa pegawai dan menteri percaya bahawa Johnson akan menunggu keputusan pilihan raya AS.
PM Johnson dikatakan lebih cenderung untuk memilih ‘tiada perjanjian’ jika sahabat baiknya dan juga penyokong Brexit, Donald Trump memenangi pilihan raya yang bakal berlangsung pada minggu depan.
Perdana Menteri itu mungkin dapat menyimpul perjanjian perdagangan pasca-Brexit dengan Amerika Syarikat lebih cepat berbanding jika Joe Biden yang memenangi pemilihan presiden ini.
Sebaliknya, pentadbiran Biden berkemungkinan akan mengutamakan untuk membina semula hubungan dengan EU yang telah dirosakkan oleh Trump dan ia mungkin lebih memilih kepada perjanjian dagang AS-EU berbanding dengan UK.
Rogers dan bekas diplomat UK yang lain sebelum ini telah memberi amaran bahawa pentadbiran Demokrat di bawah Biden akan terbukti sangat bermasalah bagi Johnson dan kerajaan UK, mengancam hubungan istimewa antara dua negara itu.