Laporan mengenai keberkesanan vaksin Covid-19 yang dikembangkan oleh Moderna telah menyokong sentimen pasaran memperlihatkan dagangan matawang utama terus positif pada pembukaan sesi Asia.
Pada hari Isnin, Moderna Inc mengatakan data percubaan fasa ketiga pada peringkat awal terhadap vaksin yang diusahakan telah menunjukkan kebersanan lebih daripada 94% untuk mencegah Covid-19.
Dolar greenback meraih keuntungan pendek sejurus selepas Moderna diterbitkan dan ketika sesi Eropah, bagaimanapun matawang itu gagal mengekalkan pengukuhan pada sesi New York.
Dolar Aussie didagangkan meningkat susulan berita tersebut selain turut disokong oleh pendirian positif oleh Reserve Bank of Australia (RBA) dalam laporan minit mesyuarat yang menunjukkan bank pusat tidak akan melaksanakan kadar negatif.
Sentimen risk-on pasaran turut menyokong dolar kiwi yang terkesan akibat kenyataan Menteri Perdagangan New Zealand, Damien O’Connor yang bimbang dengan peningkatan nilai dolar kiwi baru-baru ini akan menjejaskan ekonominya yang berasaskan perdagangan.
Sementara itu bagi matawang Eropah, pound sterling terus menguat walaupun sedikit susut pada awal sesi Asia, disokong oleh laporan media yang mengatakan UK boleh mencapai perjanjian perdagangan pasca-Brexit dengan Kesatuan Eropah (EU) awal minggu depan.
Selain itu, matawang euro turut didagangkan meningkat susulan penyusutan US dolar dengan tumpuan pasaran kini terarah kepada penerbitan data jualan runcit AS pada malam ini untuk melihat tahap pemulihan ekonomi setakat ini.
Perkembangan positif mengenai vaksin Moderna juga menyokong dolar Kanada untuk meningkat berbanding USD selain turut dipengaruhi oleh peningkatan harga minyak mentah.