Ketika pasaran memasuki sesi Eropah, matawang utama kembali memaparkan kenaikan selepas susut pada sesi Asia berikutan pelabur yang mengambil keuntungan menjelang penutup dagangan hujung minggu sehingga mendorong kenaikan dolar greenback.
Namun begitu, disebabkan prospek terhadap kesepakatan dalam pakej rangsangan AS akan dapat dicapai dan beberapa data ekonomi yang positif, matawang utama terus meraih sokongan untuk kekal didagangkan tinggi.
Menjelang akhir minggu, para pedagang terus memberi perhatian kepada sebarang kemajuan dalam perbincangan rangsangan fiskal AS dan rundingan perdagangan Brexit untuk menentukan arah tuju pasaran untuk minggu-minggu terakhir tahun ini.
Euro kembali diniagakan positif pada awal sesi Eropah berikutan kelemahan US dolar meskipun terdapat lonjakan kecil dipaparkan oleh matawang gergasi itu ketika sesi Asia.
Matawang pound kini berada di landasan untuk kenaikan mingguan terbaiknya dalam tempoh enam bulan selepas disokong oleh harapan pasaran terhadap perjanjian perdagangan Brexit sebelum akhir tahun ini.
Di sisi lain, Bank of Japan (BOJ) terus memperluaskan skim bantuannya untuk pinjaman korporat dan mengekalkan pendirian terhadap dasar monetari semasa bank pusat seperti dijangkakan secara meluas oleh pasaran.
Matawang komoditi pula dilihat sedikit teragak-agak untuk meningkat semula ketika pasaran memasuki sesi Eropah setelah penjualan pada sesi Asia. Bagaimanapun, dagangan matawang itu kekal kukuh di sekitar paras ketinggian tahunan yang dicapai pada hari Khamis.
Berbanding sekumpulan matawang utama, dolar greenback didagangkan positif pada 89.89, masih berlegar di sekitar paras terendah 2 setengah tahun.