Sejak kebelakangan ini matawang digital bank pusat (CBDC) dan matawang kripto merupakan antara topik yang sering disentuh oleh Team Intraday, sejajar dengan kepesatan sistem kewangan global.
Bank pusat berlumba-lumba menghasilkan matawang digital seperti baru-baru ini The Bahamas secara rasminya berjaya melancarkan aset digital bank pusat pertama di dunia. Tidak lupa juga dengan kemajuan China yang akan melancarkan yuan digital tidak lama lagi.
Mungkin ada yang keliru perbezaan antara CBDC dan matawang kripto. Nampak serupa terutama dari sifat digital, tetapi sebenarnya tidak.
Apa bezanya?
Centralized vs Decentralized (Berpusat vs Tidak Berpusat)
Sedia maklum matawang kripto seperti Bitcoin memiliki sistem yang tidak berpusat, manakala matawang digital bank pusat yang bersandarkan pada sistem berpusat.
Ini bermakna tidak seperti kripto, CBDC akan melibatkan banyak campur tangan bank pusat yang mana tidak mustahil akan menyebabkan isu lain tidak diberi perhatian. Sama seperti isu COVID-19 yang mendorong kepada peningkatan hutang mereka dan gagal menangani inflasi sepenuhnya.
Privasi dan autonomi
Matawang kripto dalam tetapan peer-to-peer membenarkan pengguna untuk memutuskan seberapa banyak maklumat mereka wajar dikongsi. CBDC pula menuntut perkongsian data secara automatik dengan pihak berkuasa atau agensi percukaian bagi setiap transaksi yang dilakukan.
Secara tidak langsung tanpa perlindungan maklumat pengguna CBDC, mereka berisiko terdedah dengan aktiviti jenayah.
Keselamatan
Tidak dinafikan, industri kripto mempunyai kelemahan blockchain dan keselamatan pertukaran, melibatkan masalah terhadap perlindungan diri dan data pengenalan wallet setelah diguna semula. Terdapat 51% kebarangkalian serangan seluruh blockchain dan banyak lagi.
CBDC juga terdedah dengan kelemahan keselamatan, di mana berpotensi besar akan berhadapan dengan serangan siber negara-negara luar, sama seperti kelemahan pentadbiran kerajaan sebuah negara dalam menangani jenayah tersebut.
Pokok pangkalnya, kedua-dua aset digital ini masih lagi ‘tunas’ dalam sistem kewangan global. Wajar untuk memberi industri ini peluang menjadi lebih teguh dan mampan bagi kegunaan masa akan datang.