Inilah Dia Matawang Digital Bank Pertama Di Dunia!

2,155

Bank pusat Bahamas menerusi sebuah kenyataan mengumumkan “Sand Dollar”, matawang digital bank pusat (CBDC) negara itu kini sudah boleh diakses di seluruh dunia.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi akaun Facebook Project Sand Dollar, menjelaskan penggunaan aset itu terbuka kepada seluruh rakyatnya bermula jam 10PM (6 pagi waktu Malaysia).

Ini bermakna Bahamas menjadi negara pertama di dunia yang berjaya merasmikan penggunaan sepenuhnya terhadap CBDC.

Sebelum ini dilaporkan China masih lagi di dalam fasa pengujian CBDC, melibatkan peruntukan sebanyak $1.5 juta yuan digital dalam program giveaway yang terbuka kepada penduduknya. Manakala Bakong, matawang digital Cambodia dijangka akan beroperasi dalam beberapa bulan lagi sebaik sahaja tamat fasa pengujian yang telah bermula sejak Julai 2019.

Walau bagaimanapun, berbeza pula Amerika Syarikat (AS) dan New Zealand yang tiada perancangan untuk menubuhkan aset digital dalam tempoh terdekat.

Transaksi Sand Dollar boleh dilakukan menggunakan telefon bimbit, di mana-mana pusat perniagaan dengan syarat memiliki e-Wallet yang diluluskan oleh Bank Pusat. Tiada sebarang caj dikenakan bagi setiap transaksi yang dijalankan.

Untuk pengetahuan, bank pusat Bahamas telah membuat perancangan rapi untuk melancarkan aset tersebut sejak beberapa tahun lalu. Pada 2019, pihak mereka menjalankan ujian penggunaan melibatkan 48,000 Sand Dollar di Kepulauan Exuma dan Abaco yang membawa jumlah populasi seramai 25,000 penduduk.

Kemunculan CBDC dilihat akan membuka peluang terhadap pengaksesan infrastruktur pembayaran digital atau infrastruktur perbankan dalam kalangan penduduk yang lebih gemarkan alternatif perkhidmatan kewangan atau tidak pernah menggunakan perkhidmatan bank.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat