Kadar inflasi Australia tanpa dijangka mencatatkan peningkatan pada suku ketiga disokong oleh kenaikan semula harga bahan bakar, namun masih jauh daripada sasaran bank pusat.
Terbaru, data yang diterbitkan Biro Statistik Australia (ABS) menunjukkan indeks harga pengguna tahunan meningkat 0.7% pada suku ketiga setelah mencatatkan kejatuhan 0.3% pada suku kedua sebelum ini.
Sementara indeks harga pengguna suku tahunan pula melonjak ketara sebanyak 1.6%, pulih dari penguncupan yang dicatatkan pada suku sebelum ini -1.9%.
Namun, lonjakan ini masih jauh di paras sasaran 2-3% Reserve Bank of Australia (RBA) dan dengan ekonomi yang baru sahaja muncul dari kemelesetan, ia akan kekal di bawah purata yang diharapkan untuk jangka masa akan datang.
Selain itu, data yang memberangsangkan ini juga mungkin tidak cukup untuk menghalang RBA daripada menurunkan kadar faedah ke tahap terendah 0.1% dari 0.25% pada bulan November.
Hal ini disebabkan oleh lonjakan semula kes coronavirus di Eropah dan Amerika Syarikat yang boleh mengancam usaha pemulihan ekonomi global.
Susulan daripada data yang positif ini, dolar Aussie kembali mencatatkan peningkatan pada awal sesi pasaran Eropah.
Walau bagaimanapun, dengan kesuraman sentimen yang membelenggu pasaran, dagangan matawang itu akan terus menerima tekanan.