Apabila disebut sahaja nama Neelofa, pasti ramai yang membayangkan kehebatan personaliti TV yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini. Bukan sahaja hebat di pentas lakonan, tetapi juga seorang usahawan wanita yang berjaya bahkan mampu untuk menempa nama di peringkat antarabangsa. Pada 2017, Neelofa telah berjaya tersenarai dalam ‘Forbes 30 Under 30 Asia’.
Tambahan daripada itu, pemilik jenama Nealofar Hijab ini turut dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif oleh syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia pada 8 Disember tahun 2017. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Tan Sri Tony Fernandes, pelantikan selebriti terkemuka itu adalah kerana kelebihan yang dimiliki olehnya sebagai usahawan, pencipta jenama serta pencetus yang bakal memberi nilai tambah kepada syarikat penerbangan itu.
Setelah 3 tahun memegang jawatan itu, hari ini AirAsia telah mengumumkan perletakan jawatan pengacara TV dan selebriti terkemuka itu sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif. Menurut AirAsia, notis perletakan jawatan Neelofa yang bertarikh 17 Ogos 2020 telah diterima pada hari ini. Di samping itu, syarikat tersebut mendedahkan bahawa Neelofa melepaskan jawatan berkenaan kerana komitmen peribadinya.