Emas sedikit meningkat pada Khamis ketika para pelabur berhati-hati optimis bahawa Demokrat Joe Biden akan mengalahkan Presiden Donald Trump dalam pilihan raya AS, meningkatkan kemungkinan lebih banyak rangsangan ekonomi akan dilancarkan.
Bagaimanapun, ketidakpastian yang dicetuskan oleh Trump telah membataskan pergerakan logam berharga itu daripada meningkat lebih tinggi.
Pada awal sesi Eropah, logam berharga itu didagangkan meningkat dengan berlegar di sekitar harga $1,909 per auns, sementara niaga hadapan emas pula positif pada $1,910 per auns (3.00 petang waktu Malaysia).
Kempen pilihan raya Trump telah mengemukakan tuntutan undang-undang yang mendesak supaya pengiraan undi di Georgia dihentikan dan meminta supaya undian di kawasan-kawasan utama yang dimenangi oleh Biden, dikira semula.
Pasaran menjangkakan kemenangan Biden mungkin akan membawa kepada pelancaran langkah rangsangan fiskal yang lebih besar daripada pentadbiran Trump untuk menyokong ekonomi Amerika Syarikat.
Emas cenderung untuk mendapat keuntungan daripada langkah-langkah rangsangan besar-besaran kerana ia secara meluas dilihat sebagai lindung nilai terhadap inflasi dan penurunan matawang.
Tumpuan pasaran kini masih terarah kepada proses pengiraan undi di beberapa negeri utama yang menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua calon.