Sentimen pasaran bercampur-campur ketika angka jangkitan coronavirus yang terus menunjukkan peningkatan membayangi berita positif mengenai vaksin sehingga mendorong matawang utama susut lebih rendah pada pembukaan sesi Eropah.
Penghindaran risiko dalam pasaran berikutan ketidakpastian yang dicetuskan oleh Covid-19 terhadap ekonomi global, telah menyokong kebangkitan semula US dolar sebagai safe-haven untuk didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan matawang utama.
Lonjakan kes coronavirus dan beberapa sekatan baru dilaksanakan di Amerika Syarikat telah mencetuskan spekulasi bahawa Federal Reserve (Fed) akan meningkatkan program pembelian asetnya pada mesyuarat polisi Disember.
Kebimbangan terhadap krisis Covid-19 turut memacu dagangan safe-haven yen 1% lebih tinggi pada minggu ini dengan didagangkan stabil pada 103.90 berbanding USD tidak jauh daripada paras ketinggian 8 bulan yang dicapainya pada Rabu.
Sentimen semasa pasaran pula mendorong matawang euro untuk susut lebih rendah selain turut dihimpit oleh tekanan krisis Covid-19 di Eropah.
Pasaran kini meramalkan Bank Pusat Eropah (ECB) akan melanjutkan program pembelian aset (PEPP) yang sepatutnya berakhir sehingga Jun tahun depan, kepada akhir tahun 2021.
Sementara matawang pound terus mencatatkan penyusutan didorong oleh ketidakpastian Brexit yang dicetuskan oleh laporan bahawa para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersedia untuk no-deal Brexit ketika tarikh akhir semakin hampir