Perjumpaan antara Perdana Menteri UK Boris Johnson dan Presiden Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU) Ursula von der Leyen disifatkan sebagai positif, di mana mereka berkongsi harapan masing-masing untuk mencapai perjanjian melalui kerjasama yang erat.
Von der Leyen menyeru kedua-dua pihak supaya memberi tumpuan kepada kepentingan bersama dan bersetuju untuk mencapai kesepakatan dalam isu perubahan iklim, hak asasi manusia dan keselamatan.
Jurucakap Downing Street memberitahu bahawa dalam pertemuan bersama Ursula, PM Johnson jelas menyuarakan pendiriannya kepada Ursula untuk tidak akan melanjutkan tempoh peralihan Brexit.
Beliau berkeras untuk mendapatkan perjanjian tersebut menjelang akhir Disember 2020.
Selain itu, PM Johnson juga memberitahu von der Leyen bahawa beliau ingin menjalin hubungan baru yang positif antara UK dan EU, berdasarkan kerjasama erat dan perkongsian sejarah, kepentingan dan nilai bersama.
Beliau juga menyatakan kesediaan UK untuk memulakan rundingan secepat mungkin selepas 31 Januari iaitu di mana UK akan meninggalkan EU.
Bagaimanapun, von der Leyen dalam ucapan berasingan di London School of Economics sebelum bertemu PM Johnson, memberitahu beliau masih melihat bahawa untuk mencapai perjanjian perdagangan yang komprehensif bersama UK adalah mustahil dicapai dalam tempoh itu.
Sementara itu, dalam kenyataan lain, Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) Christine Lagarde juga menyuarakan pandangannya mengenai tempoh rundingan untuk EU dan UK berbincang mengenai perjanjian perdagangan baru adalah tidak mencukupi.
Cabaran terbesar akan datang setelah berlakunya Brexit adalah isu perjanjian perdagangan EU-UK. Kesan ekonomi dan kewangan Brexit selepas ini akan bergantung kepada butiran perjanjian tersebut jika ia berjaya dicapai dalam tempoh yang singkat.