Sentimen konflik Amerika Syarikat dan Iran yang kembali reda telah memulihkan kembali dagangan US dolar sementara permintaan terhadap aset safe-haven kembali susut.
Pada awal pagi Rabu lalu, serangan balas Iran terhadap pangkalan tentera Amerika Syarikat di Iraq telah meningkatkan risiko dalam pasaran. Namun, kenyataan lebih tenang Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang tidak memberi isyarat untuk menyerang balas kembali melegakan para pelabur.
Dilihat pergerakan harga pada carta pasangan matawang USD/JPY, harga menjunam pada awal sesi Asia Rabu lalu sebelum kenaikan ketara harga dipamerkan bersambung pada hari semalam.
Kenaikan harga hampir mencatatkan 200 pips dari paras terendah sekitar 107.640. Yen kembali bergerak lemah ekoran sentimen berisiko pasaran kembali pulih susulan ucapan Presiden Trump.
Pergerakan harga mendatar pada ketinggian 109.500 pada penghujung sesi New York sehingga bersambung pada sesi Asia pagi ini.
Momentum kenaikan yang berjaya dikekalkan dilihat akan mendorong harga ke paras 109.700 untuk menguji zon resistance tersebut.
Zon resistance tersebut masih gagal ditembusi sejak diuji pada dagangan November dan juga Disember tahun lalu. Harga yang berjaya tembusi zon tersebut bakal mencatatkan paras ketinggian 8 bulan terbaru.
Sebaliknya jika sentimen pasaran kembali berisiko, harga bakal mempamerkan penurunan semula menguji halangan terdekat seperti zon RBS (resistance become support) 109.200 dan juga halangan dinamik Moving Average 50 (MA50).
Penurunan lebih rendah dari paras tersebut berkemungkinan memberi isyarat perubahan trend pada carta USD/JPY.
Zon RBS 108.500-108.600 akan menjadi tumpuan utama harga pada penurunan yang lebih rendah.
Lihat gambar carta pasangan matawang USD/JPY di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.