Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan arahan eksekutif yang melarang sebarang transaksi dengan syarikat yang memiliki aplikasi TikTok, ByteDance dan Tencent yang memiliki aplikasi WeChat berkuatkuasa dalam tempoh 45 hari lagi.
Menurut Trump, penyebaran aplikasi mudah alih yang dibangunkan dan dimiliki oleh China terus mengancam keselamatan nasional, dasar luar dan ekonomi AS.
Tambah Trump lagi, langkah sewajarnya perlu diambil untuk berdepan dengan situasi kecemasan nasional berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi.
Trump berulang kali menyifatkan kedua-dua aplikasi terbabit sebagai ‘ancaman’ kepada AS.
Jelas Trump, pengumpulan data oleh kedua-dua aplikasi itu berkemungkinan membolehkan China untuk menjejaki penjawat awam AS dan kemudiannya mengumpul maklumat peribadi pengguna untuk tujuan ugutan atau menjalankan pengintipan.
Selain itu, Trump juga khuatir aplikasi TikTok digunakan sebagai kempen penyebaran maklumat palsu oleh Parti Komunis China.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan dan Tentera Darat AS telah menyekat aplikasi TikTok dalam telefon milik kerajaan.
Terdahulu, ByteDance menafikan mereka berkongsi data pengguna dengan kerajaan China.
Sehingga kini, ByteDance dan Tencent tidak memberikan sebarang komen berhubung arahan eksekutif itu.