Ironi! Beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan arahan eksekutif untuk menyekat aplikasi media sosial, WeChat, rakyat China dilihat bertindak memuat turun aplikasi milik syarikat AS iaitu Signal bagi menggantikan WeChat.
Menurut laporan jurucakap Signal, Jun Harada, jumlah muat turun aplikasi berkenaan melonjak di China namun enggan mendedahkan angka sebenar jumlah muat turun terbabit kerana polisi syarikat itu yang tidak berkongsi data pengguna.
Ujar Harada, rakyat China memilih aplikasi tersebut susulan perlindungan privasi pengguna yang disifatkan terbaik untuk penggunaan seharian.
Tambah menarik lagi, walaupun kerajaan China menyekat kebanyakan aplikasi pemesejan Barat seperti WhatsApp di negara itu, Signal bagaimanapun tidak disekat.
Sementara itu, penyelidik China pertubuhan Human Rights Watch, Yaqui Wang memberi amaran sekiranya populariti Signal meningkat, China berkemungkinan besar akan menyekat aplikasi berkenaan, seperti apa yang berlaku terhadap WhatsApp dan Telegram.
Pakar privasi memberikan markah tinggi kepada Signal kerana ia menyimpan hanya sedikit maklumat tentang penggunanya dan setiap mesej dalam aplikasi adalah sulit serta tidak boleh diakses oleh pihak berkuasa.
Sebelum ini, aplikasi itu paling banyak dimuat turun di Hong Kong sejurus China melaksanakan Undang-Undang Keselamatan Nasional baharu pada bulan lalu.