Sentimen pasaran yang terus berisiko akibat kebimbangan wabak Coronavirus terus memberi tekanan terhadap dagangan matawang dolar Australia yang sensitif terhadap matawang China.
Daerah Hubei China melaporkan kes jangkitan virus telah mencatat 75,465 kes yang disahkan sementara angka kematian akibat virus itu telah mencecah 2,236 korban.
Menjadi antara matawang berpulangan tinggi, dolar Aussie terus diniagakan lemah dengan kebimbangan pelabur mendorong aliran pelaburan tertumpu pada aset safe-haven yang lebih selamat.
Data PMI pembuatan dan perkhidmatan Australia untuk Februari tidak mencatatkan bacaan yang memberangsangkan untuk menyokong kenaikan nilai dolar Aussie.
Dapat diperhatikan pada sesi Asia pagi ini, pergerakan harga pada carta pasangan matawang AUD/USD meneruskan lagi penurunan ke paras terendah terbaru lebih sedekad.
Sebelumnya, pada sesi New York semalam harga bergerak turun ke paras terendah harian sekitar 0.66100 dan menutup dagangan di paras sekitarnya.
Bersambung pada sesi Asia hari ini, harga terus menyambung penurunan dan telah melepasi paras 0.66000.
Setelah laporan pekerjaan Australia mencatatkan peningkatan pada kadar pengangguran bulan Januari, sentimen berisiko pasaran terus menambahkan lagi tekanan buat dagangan Aussie.
Jika berterusan, harga bakal meneruskan penurunan ke paras lebih rendah lagi untuk menutup dagangan pada minggu ini di paras terendah terbaru sejak Mac 2009.
Sekiranya berlaku pembetulan harga (correction) pada trend bearish harga, zon SBR (support become resistance) pada 0.66700 akan diuji sebelum harga menyambung semula penurunan.
Namun jika harga meneruskan kenaikan lebih tinggi dari zon tersebut, tumpuan akan terarah pada zon SBR 0.67000 atau lebih tinggi lagi pada 0.67400.
Lihat gambar carta pasangan matawang AUD/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.