Selepas situasi lonjakan di awal minggu, berkerut dahi pelabur kripto apabila pasaran kripto pada hari ini seperti lautan merah, menimbulkan spekulasi mengenai daya tahan lonjakan matawang kripto.
Bitcoin (BTC) kembali susut sebanyak 8.7%, terburuk sejak awal Ogos manakala aset digital lain seperti Ethereum (ETH) juga turut papar penyusutan.
Fenomena ini bukanlah yang luar biasa kerana menurut Ketua Pembangunan Perniagaan Pertukaran Kripto Luno di Singapura, Vijay Ayyar, penyusutan tersebut didorong oleh situasi selepas pembelian secara besar-besaran kripto yang mendorong berlaku pembetulan harga semula.
Ada yang berpendapat ketidakstabilan matawang kripto utama menggambarkan senario yang pernah terjadi pada tiga tahun lalu ketika bubble pecah, termasuk tanda-tanda pelabur runcit yang mengejar momentum untuk keuntungan segera.
Ketika penulisan, Malaysia menyaksikan penyusutan Bitcoin sebanyak 6.6% dalam tempoh 24 jam kepada harga terkini $17,656 (RM72,702), Ethereum susut 12.6% kepada $511 (RM2,128) dan Ripple (XRP) susut 24.2% kepada $0.50 (RM 2.11).
Kemungkinan penyusutan hari ini disebabkan oleh undang-undang kripto yang diperketatkan di Amerika Syarikat (AS) di samping faktor aktiviti pengambilan keuntungan pada posisi terdahulu.
Ayyar menjelaskan, sebaik sahaja pembetulan semula harga jangka pendek (short-term pullback) selesai, semua indikator dijangka akan melonjak menyambung pengukuhan.
Aset Satoshi Nakamoto juga dijangka akan kembali stabil dan bakal mencapai all-time highs selepas melalui fasa penyusutan.