Harga minyak mentah kembali merosot dari paras ketinggian 4 bulan yang dicapai pada sesi sebelumnya didorong oleh lonjakan yang mengejutkan dalam bekalan minyak mentah Amerika Syarikat.
Institusi Petroleum Amerika (API) melaporkan inventori minyak mentah telah meningkat 7.54 juta tong pada minggu lalu. Ini akan menjadi kenaikan terbesar dalam bekalan minyak AS jika ia disahkan oleh data kerajaan, Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) pada malam ini.
Stok minyak mentah AS di pusat simpanan utama di Cushing telah meningkat sebanyak 716,000 tong pada minggu lepas, sementara inventori petrol turun untuk minggu ketiga, menurut API.
Niaga hadapan minyak mentah Brent jatuh 32 sen kepada $44 setong, sementara WTI Amerika Syarikat pula susut 33 sen kepada $41.59 setong setelah kedua-duanya mencecah tahap tertinggi sejak 6 Mac dengan melonjak $1 pada dagangan semalam.
Dagangan komoditi hitam itu sebelum ini meraih pengukuhan didorong oleh sentimen positif setelah para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) mencapai persetujuan untuk meluluskan pakej rangsangan pemulihan Eropah.
Selain itu, ia juga turut disokong oleh perkembangan meyakinkan dalam usaha pembangunan vaksin Covid-19 yang meningkatkan lagi peluang untuk penghasilan vaksin pertama menjelang akhir tahun ini.