US dolar kembali didagangkan lemah setelah meraih kenaikan ketika ditutup pada sesi dagangan penghujung minggu, dengan matawang yen terus diniagakan menguat sementara tumpuan pasaran terarah kepada ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell malam ini.
Sentimen pasaran semasa terus dipengaruhi dengan ketegangan terbaru antara Amerika Syarikat dan China, lebih-lebih lagi selepas Washington mengarahkan Google dan Apple menyingkirkan TikTok dan WeChat daripada platform mereka bermula 20 September.
Dagangan dolar Aussie meningkat di sesi Asia disokong oleh kenyataan positif Perdana Menteri Australia, Scott Morrison yang mengharapkan pemulihan di Victoria akan menguatkan pasaran pekerjaan.
Turut menyokong kenaikan matawang dolar Aussie apabila Presiden China, Xi Jinping mengatakan ekonomi China kekal berdaya tahan dan banyak alat dasar yang tersedia walaupun dengan risiko luaran yang meningkat.
Dolar New Zealand didagangkan rendah sedikit daripada paras ketinggian satu setengah tahun yang dicapainya pada Jumaat lalu, masih disokong oleh keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi New Zealand yang dijangka meningkat susulan kejayaannya membendung Covid-19 buat kali kedua.
Sementara itu di Eropah, matawang euro kekal diniagakan mengukuh ketika Bank Pusat Eropah (ECB) melancarkan kajian semula program pembelian bon pandemiknya untuk mempertimbangkan berapa lama ia harus diteruskan dan apakah pelonggaran yang harus diperluaskan ke program terdahulu.
Matawang pound kembali didagangkan meningkat pada sesi Asia setelah ditutup rendah minggu lalu, masih dibelenggu oleh ketidakpastian Brexit yang tidak menentu meskipun terdapat keyakinan bahawa perjanjian dagang boleh dicapai.