Jabatan Tenaga Kerja A.S pada hari Khamis melaporkan bahawa jumlah orang Amerika yang membuat tuntutan pengangguran awal jatuh kepada 1.48 juta pada minggu yang berakhir pada 20 Jun. Angka ini membawa indikasi bahawa pasaran buruh harus berhadapan fasa pemulihan yang sukar dan berpanjangan dari kesan penularan wabak Covid-19.
Angka yang dikeluarkan ini ialah lebih tinggi daripada jangkaan para penganalisis yang hanya menjangkakan jumlah tuntutan pengangguran sebanyak 1.30 juta dan dalam masa yang sama ia hanya menurun sedikit daripada bacaan minggu sebelumnya iaitu sebanyak 1.54 juta.
Namun tuntutan pengangguran telah jatuh dari rekod bacaan 6.86 juta pada akhir bulan Mac walapun kadarnya masih perlahan. Dalam masa yang sama terdapat peningkatan jumlah kes Covid-19 yang disahkan di seluruh A.S selepas pembukaan kembali sektor perniagaan dan prospek ekonomi juga masih kabur.
Menurut Ketua Ekonomi, PNC Financial di Pittsburgh, Pennsylvania., Gus Faucher berpendapat bahawa “walaupun ekonomi bertumbuh namun kami tidak melihat banyak permintaan pertambahan pekerja dari sektor swasta .”
Walaupun angka tuntutan pengangguran dilaporkan satu minggu lewat namun indikasi ini menawarkan pandangan yang lebih baik mengenai pasaran buruh. Tuntutan pengangguran telah jatuh dari rekod tertinggi 24.91 yang dicatat pada awal Mei.