Harga emas kembali meraih kekuatan dengan didagangkan positif menjelang dagangan penghujung minggu di tengah-tengah penyusutan US dolar berbanding matawang utama lain.
Memasuki sesi Eropah, logam berharga itu mencatatkan peningkatan 0.4% dengan didagangkan pada $1,953 per auns, manakala niaga hadapan emas pula diniagakan meningkat pada $1,1960 per auns (3.55 petang waktu Malaysia).
Dolar greenback diniagakan lebih rendah berbanding kebanyakan matawang utama setelah data tuntutan faedah pengangguran menunjukkan bacaan kurang memberangsangkan, di mana sebanyak 860,000 tuntutan telah dibuat pada minggu lepas berbanding jangkaan untuk penurunan sebanyak 825,000.
Hal ini sekali gus telah menimbulkan keraguan terhadap unjuran positif Federal Reserve (Fed) sebelum ini mengenai ekonomi yang dilihat semakin pulih.
Selain itu, data yang diterbitkan Jabatan Tenaga Kerja AS juga menunjukkan hampir 30 juta orang telah mendapat faedah pada akhir bulan Ogos.
Sementara itu, kebimbangan terhadap wabak Covid-19 terus menguatkan kedudukan emas, ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai peningkatan mendadak bilangan kes di Eropah yang dilihat semakin serius.
Ini dapat dilihat daripada data terbaru yang diperoleh, di mana sebanyak 300,000 kes jangkitan baru dilaporkan di seluruh Eropah pada minggu lepas. Malah, kes mingguan didapati telah melebihi jumlah yang dilaporkan pada bulan Mac lalu.