Sentimen risk-on menghiasi sesi pembukaan dagangan sesi Asia dengan matawang utama mempamerkan peningkatan yang masih disokong oleh perkembangan positif vaksin Covid-19 oleh Pfizer.
Pakar penyakit berjangkit terkemuka Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci memberitahu bahawa vaksin Pfizer mungkin akan menerima kebenaran penggunaan kecemasan (EUA) oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah AS (FDA) pada akhir November.
Selepas mendapat kelulusan FDA, Amerika Syarikat akan menerima dos vaksin dan akan diberikan kepada kumpulan yang mempunyai keutamaan tinggi secepatnya pada bulan Disember.
Dolar Aussie kembali diniagakan meningkat selepas mencatatkan penyusutan pada sesi Asia susulan laporan tersebut selain turut disokong oleh peningkatan dalam data keyakinan pengguna Australia yang mencatat bacaan tertinggi sejak 2013.
Sementara itu, matawang euro turut mencatatkan sedikit peningkat setelah terkesan oleh bacaan indeks sentimen ekonomi Jerman tinjauan ZEW yang jatuh ketara pada bulan Disember, menunjukkan kebimbangan terhadap kemelesetan dua kali ganda di Eropah.
Matawang pound pula kekal didagangkan tinggi setelah meraih pengukuhan yang disokong oleh kenyataan Menteri Kewangan Rishi Sunak yang menyatakan terdapat kemajuan dalam rundingan perjanjian perdagangan Brexit, selain turut disokong oleh laporan mengenai vaksin.
Ketika pasaran diperlihatkan dengan perkembangan positif mengenai vaksin, namun di sisi lain, peningkatan kes jangkitan dan kematian akibat coronavirus di seluruh dunia masih menjadi kebimbangan.