Dagangan pound sterling berdepan dua risiko utama pada minggu ini, di mana mesyuarat polisi Bank of England (BOE) dan pilihan raya parlimen Scotland akan berlangsung pada hari Khamis.
Menjelang pengumuman dasar monetari oleh BOE, terdapat beberapa penganalisis yang meramalkan bahawa bank pusat akan membuat pengurangan dalam pembelian bonnya.
Ini susulan kemajuan dalam pelancaran vaksin di negara itu yang telah mendorong beberapa langkah sekatan dilonggarkan secara beransur-ansur.
Perdana Menteri UK Boris Johnson sebelum ini dilaporkan bahawa peraturan penjarakan 1 meter mungkin akan berakhir pada 21 Jun di England, di samping turut mencadangkan ‘pembukaan’ perjalanan asing pada 17 Mei.
Bagaimanapun, terdapat juga jangkaan bahawa bank pusat akan kekal dengan pendekatan dasar monetari semasa memandangkan ketidakpastian mengenai pemulihan global masih lagi tinggi, lebih-lebih lagi dengan lonjakan kes Covid-19 di India.
Sementara itu, Parti Nasional Scotland (SNP) dijangka akan memperoleh majoriti di parlimen Scotland, yang mana beberapa pihak menganggap ia sebagai risiko bagi Britain.
SNP telah berjanji untuk meminta referendum kemerdekaan kedua Scotland, walaupun keizinan untuk melakukannya perlu diberikan oleh pemerintah UK di London.
Pada sesi Eropah, pergerakan matawang pound dilihat agak terbatas berikutan pelabur mengambil langkah berhati-hati menjelang dua acara penting minggu ini, selain turut terkesan dengan kenaikan yang dicatatkan US dolar.