Sentimen pasaran pada sesi Eropah dilihat masih berpihak kepada kebanyakan matawang utama untuk kekal didagangkan positif ketika menuju ke penutup dagangan minggu ini.
Dolar Aussie masih lagi mempertahankan keuntungannya di tengah sentimen yang bertambah baik susulan laporan yang mengatakan syarikat Evergrande China telah mula beransur-ansur membayar hutangnya.
Perkhabaran mengenai Evergrande telah mencetuskan tanggapan positif bahawa ia akan dapat mengelakkan daripada kejatuhan yang dibimbangi akan memberi impak besar pada pasaran global.
Selain itu, ia turut disokong oleh prospek yang meningkat terhadap pemulihan negara itu selepas sekatan coronavirus bandar kedua terbesar di Australia, Melbourne akan dibuka semula.
Dagangan dolar greenback pula terus memaparkan penyusutan dengan indeks dolar didagangkan pada sekitar harga 93.62. Tumpuan pelabur kini terarah kepada penerbitan data PMI pembuatan dan perkhidmatan AS pada sesi New York.
Walaupun susut, tetapi peningkatan hasil bon AS yang tinggi masih lagi menyokong dagangan dolar greenback daripada jatuh lebih rendah.
Di sisi lain, dolar Kanada didagangkan stabil setelah harga minyak mentah dunia kembali memperlihatkan kenaikan pada sesi Eropah susulan kejatuhan yang dicatatkan pada sesi sebelum ini.