Mendukacitakan apabila prestasi Bitcoin (BTC) yang menguat semalam, kembali kecundang pada hari ini rentetan daripada Amazon menyangkal dakwaan akan menerima matawang kripto.
Semalam akhbar Britain, City A.M melaporkan perancangan Amazon untuk menerima pembayaran dalam matawang kripto berdasarkan satu sumber yang dipercayai orang dalaman firma gergasi itu.
Lebih mengujakan, rancangan tersebut adalah secara langsung idea Jeff Bezos.
Khabar tersebut serta-merta mendorong pergerakan positif Bitcoin (BTC) sehingga berjaya mencecah paras harga tertinggi harian, $40,552 semalam.
Bagaimanapun, jurucakap Amazon menjelaskan laporan tersebut palsu.
Harga BTC susut laju lebih 9% ke paras terendah harian setakat ini, $36,755. Ketika penulisan, aset Satoshi Nakamoto ini didagangkan pada $37,003.
Pelbagai persoalan cuba dirungkai, terutama apabila Amazon sedang mencari individu yang memiliki latar belakang dalam sektor blockchain dan matawang kripto untuk mengisi jawatan kosong yang diiklankan baru-baru ini.
Perkara itu, bagaimanapun diakui Amazon yang mereka masih berminat untuk terus mendalami dan mengkaji kripto, terutama blockchain.