Dolar greenback berundur dari paras tertinggi berbanding pesaing utamanya selepas menyaksikan peningkatan inflasi AS yang telah mula mereda pada bulan Julai, walaupun masih berada di paras tertinggi 13 tahun secara tahunan.
Indeks harga pengguna (CPI) meningkat 0.5% pada bulan lalu, sejajar dengan jangkaan pasaran tetapi turun dari kenaikan 0.9% yang dicatatkan pada bulan Jun. Inflasi menurun dalam beberapa komponen seperti penjualan kereta terpakai.
CPI teras tidak termasuk komponen makanan dan tenaga juga menunjukkan penurunan pada bulan lalu, dari 0.9% kepada 0.3%. Ini memberi indikasi bahawa ia telah mencapai kemuncak harganya, dan membuktikan kenyataan Federal Reserve (Fed) bahawa kenaikan inflasi adalah sementara.
Bagaimanapun, dengan peningkatan berterusan yang dicatatkan, penganalisis pasaran melihat bank pusat tetap berada di landasan untuk mengumumkan pengurangan dalam pembelian bon dalam beberapa minggu akan datang.
Walaupun penurunan ini sudah dijangkakan, tetapi pelabur memberi reaksi kuat terhadap laporan tersebut. Saham AS mencecah paras tertinggi, hasil perbendaharaan merosot dan USD juga menyusut.
Dalam pada itu, pasaran juga diperlihatkan dengan pernyataan pembuat dasar Fed Esther George yang mengatakan waktunya telah tiba untuk menarik semula rangsangan, dan Robert Kaplan pula menyatakan bank pusat harus mengumumkan garis masa untuk mengurangkan pembelian bon besar-besaran bulan depan dan mula menurunkannya pada bulan Oktober.
Dolar Aussie dan New Zealand antara matawang utama yang mendapat keuntungan paling banyak dari kemerosotan US dolar. Bagaimanapun, risiko Covid-19 yang berterusan masih menekan dolar Aussie.
Matawang pound akan menjadi tumpuan hari ini yang akan menyaksikan penerbitan anggaran awal data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) UK yang dijangka akan menunjukkan pemulihan yang ketara pada suku kedua.