Raja matawang US dolar menjunam parah selepas terkesan oleh kenyataan dovish Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell di simposium ekonomi tahunan Jackson Hole pada Jumaat lalu.
Powell mengisyaratkan bank pusat mungkin akan mula mengurangkan pembelian bon pada akhir tahun ini, tetapi memberi indikasi bahawa pengurangan ini tidak akan membawa kenaikan kadar faedah secara langsung.
Fed akan terus mengekalkan kadar faedah pada tahap semasa sehingga ekonomi mencapai keadaan yang konsisten dengan pekerjaan maksimum, dan inflasi telah mencapai sasaran serta berada di landasan melebihi 2% untuk beberapa waktu.
Selain itu, beliau turut menyebut mengenai penularan varian delta yang membimbangkan, dengan mengatakan mereka akan menilai data akan datang dan risiko yang timbul dengan teliti.
Walaupun pendirian dovish Fed sudah dijangka, tetapi pasaran memberi reaksi yang sangat besar. Pasaran saham AS meningkat tinggi, sementara matawang US dolar pula menjunam rendah.
Pada sesi Asia, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan di paras terendah dua bulan pada 92.60, setelah jatuh kira-kira 0.4% pada dagangan akhir minggu lalu.
Junaman ini telah mendorong matawang euro untuk meningkat lebih tinggi di atas harga 1.1800, dan matawang pound pula turut mengukuh pada 1.37680 selepas menokok 0.4% berbanding US dolar.
Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand juga melonjak tinggi dengan kedua-duanya mencatat kenaikan mingguan lebih 2%, iaitu yang terbesar berbanding USD dalam tempoh 10 bulan.
Tumpuan pasaran minggu ini beralih kepada penerbitan laporan pekerjaan NFP AS yang diharapkan terus menunjukkan peningkatan tetapi lebih perlahan daripada bacaan sebelumnya.