Setelah berakhirnya tampuk pimpinan bekas presiden Donald Trump, sudah jarang kelihatan berita mengenai hubungan perdagangan Amerika Syarikat dan China yang telah mencetuskan huru hara dalam pasaran kewangan dahulu.
Namun, dalam perkembangan terbaru ini, nampaknya hubungan antara kedua-dua negara telah bertambah baik di bawah pimpinan Presiden Joe Biden.
Terbaru, dua pemimpin rundingan perdagangan AS-China, wakil Perdagangan AS (USTR), Katherine Tai dan wakil Perdana Menteri, Liu He, dilaporkan telah mengadakan panggilan pertama mereka pada hari Khamis.
Walaupun tiada perkongsian rincian mengenai perkembangan perdagangan, atau sama ada tariff yang dikenakan di bawah pentadbiran Trump akan dikembalikan, tetapi, ia dilihat sebagai sangat positif.
Menurut pernyataan Kementerian Perdagangan China, kedua-dua pihak bersetuju untuk berkomunikasi lebih lanjut dan menyifatkan seruan itu sebagai satu sikap yag saling menghormati. Beijing sering menggunakan ungkapan tersebut ketika meminta komunikasi yang lebih baik dengan AS.
Dalam pernyataan yang berasingan, pejabat USTR mengatakan Tai membincangkan dasar perdagangan yang berpusat pada pekerja dan tinjauannya yang berterusan mengenai hubungan perdagangan AS-China, di samping turut membangkitkan beberapa masalah yang menjadi perhatian.
Kenyataan itu tidak menyatakan isu apa yang ditimbulkan semasa panggilan itu, dan menambah bahawa Tai menantikan perbincangan masa depan dengan Liu.
Awal minggu ini, Peterson Institute for International Economics yang berpangkalan di AS, mengatakan bahawa pembelian barangan AS oleh China masih jauh dari jumlah yang dipersetujui dalam perjanjian fasa 1 yang ditandatangani sejak Januari 2020.