Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menggesa supaya negara itu perlu berpegang pada rancangan untuk membuka semula ekonomi dengan mula melonggarkan langkah sekatan coronavirus yang ketat setelah kadar vaksinasi meningkat.
Sebelum ini, beberapa negeri menyatakan bahawa mereka mungkin tidak dapat mematuhi rancangan negara untuk melonggarkan langkah sekatan berikutan kebimbangan terhadap kes coronavirus yang semakin meningkat.
Ketika bercakap dalam sidang media pada hari ini di Canberra, Morrison memberitahu bahawa langkah penutupan tidak boleh berterusan selama-lamanya. Ini bukan cara yang mampan untuk tinggal di negara ini.
Tambah beliau lagi, pemerintah perlu bersiap sedia untuk melonggarkan sekatan dan mesti mempersiapkan negara untuk membuat langkah itu.
Pada bulan lalu, kerajaan persekutuan telah melancarkan rancangan empat peringkat untuk melonggarkan sekatan apabila 70% daripada 25 juta penduduknya yang berusia lebih 16 tahun diberi vaksin.
Apabila kadar vaksinasi mencapai 80%, hanya penutupan disasarkan yang diperlukan dan rakyat Australia yang diberi vaksin, bebas untuk melakukan perjalanan ke luar negeri.
Walau bagaimanapun, negeri-negeri di Australia Barat dan Queensland telah menimbulkan kebimbangan bahawa rancangan itu mungkin tidak dapat dipenuhi berikutan peningkatan kes yang berterusan.
New South Wales (NSW) sekali lagi mencatatkan rekod baru, di mana sebanyak 818 kes telah dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah jangkitan harian melebihi 800 kes untuk tiga hari berturut-turut.
Dolar Aussie bagaimanapun tidak memberi reaksi perihal kenyataan tersebut, dengan kekal didagangkan rendah berbanding US dolar meskipun mencatatkan sedikit kenaikan pada sesi Asia.