Harga emas sedikit meningkat setelah susut ke paras terendah tiga minggu pada awal sesi Asia, ditekan oleh dagangan US dolar yang lebih kukuh.
Ketika penulisan, spot emas diniagakan pada $1,789 per auns, naik sedikit dari tahap terendah yang dicapainya pada $1,783 per auns pada awal sesi. Sementara niaga hadapan emas pula diperdagangkan di sekitar harga $1,790 per auns.
Bagaimanapun, kenaikan yang dicatatkan agak terbatas di tengah pengukuhan US dolar dan ketidakpastian mengenai garis masa pengurangan rangsangan (tapering) oleh Federal Reserve (Fed).
Data terbaru menunjukkan indeks harga pengeluar (PPI) AS meningkat pada bulan Ogos dengan catatan 0.7% daripada bacaan 1.0% sebelumnya. Walaupun perlahan, tetapi ia lebih baik dari jangkaan pasaran untuk kenaikan 0.6%.
Bacaan ini telah mendorong penanda aras hasil bon AS 10 tahun lebih tinggi, sekali gus memacu kenaikan semula dolar greenback pada akhir minggu.
Walaupun emas biasanya dianggap sebagai lindung nilai kepada inflasi yang lebih tinggi, tetapi peningkatan hasil bon juga bermakna kos peluang untuk memegang emas tanpa faedah lebih tinggi.
Seterusnya, penerbitan data-data inflasi pengguna (CPI) dari AS, UK dan Kanada pada minggu ini akan menjadi tumpuan utama pelabur emas.