US dolar didagangkan stabil ketika pasaran menantikan penerbitan laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat pada malam ini.
Pada sesi Eropah, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama diniagakan kukuh di sekitar harga 90.54.
Matawang gergasi itu sebelum ini meraih pengukuhan susulan pembacaan data ADP dan tuntutan pengangguran yang memberangsangkan dan mendorong jangkaan positif terhadap laporan pekerjaan NFP.
Selain NFP, pelabur juga akan diperlihatkan dengan bacaan data pekerjaan dari Kanada bagi bulan Mei pada malam ini.
Sementara itu, berbanding matawang euro, dolar greenback didagangkan 0.2% lebih tinggi dan turut mencatat lonjakan berbanding matawang berkaitan komoditi.
Dolar Kanada terus susut dari paras ketinggian enam tahun berbanding US dolar yang menguat, walaupun pada masa yang sama dagangan minyak mentah dunia melonjak tinggi berikutan jangkaan pemulihan permintaan yang lebih kuat.
Di samping itu, dolar Aussie terus lemah di sekitar paras terendah tujuh minggu, dan dolar New Zealand pula diniagakan rendah pada tahap terendah tiga minggu berbanding greenback.
Selain itu, matawang pound pula didagangkan di bawah 1.42000 berbanding USD, dihimpit kebimbangan daripada varian Delta Covid-19 dari India yang mungkin akan melambatkan rancangan pembukaan semula UK pada 21 Jun.