Better Malaysia Foundation (BMF) mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan berhubung rumah mampu milik khusus bagi kumpulan rakyat Malaysia berpendapatan rendah iaitu B40 kepada awal bulan ini.
Menurut pengasas BMF, Tan Sri Vincent Tan, kerajaan sedang mengkaji kesemua cadangan berkenaan.
“Cadangan telah dihantar kepada kerajaan, jadi saya serahkan kepada kerajaan,” ujarnya tanpa mengulas lanjut kepada siapa cadangan itu diserahkan atau kementerian mana yang dimaksudkannya.
Tambah Tan seperti dilaporkan oleh Bernama, beliau juga positif kerajaan akan menerima cadangan-cadangan BMF dan sedar bahawa ada banyak perkara teknikal yang harus diperincikan berhubung cadangan berkenaan.
Jelas beliau, cadangan itu antara lain merangkumi usul agar kerajaan menjamin pinjaman bagi golongan B40 untuk memiliki rumah, pembiayaan 100% serta jangka masa kewangan yang lebih panjang hingga 60 tahun bagi pinjaman rumah.
Ujar Tan lagi, sekiranya bank bersetuju untuk memberikan pinjaman kepada B40, banyak pemaju rumah akan membina rumah mampu milik dan keadaan itu adalah baik bagi negara.
Terdahulu, wakil-wakil media dibawa mengunjungi unit pameran rumah berkeluasan 900 kaki persegi dengan lima bilik tidur dan empat bilik mandi bagi kumpulan keluarga B40 yang direka oleh BMF.
BMF baru-baru ini melancarkan program sosial baharu untuk membantu kerajaan dalam menangani aspirasi pemilikan rumah rakyat negara ini yang berpendapatan rendah atau isi rumah B40.
Program terbabit bertujuan memudahkan pembinaan hartanah dengan kos pemilikan bulanan yang rendah, dirancang dengan teliti agar keluarga terlibat dapat hidup makmur dan berkembang dengan baik.