Bank of England (BOE) meningkatkan prospek untuk kenaikan kadar faedah lebih cepat dari dijangkakan untuk menahan lonjakan inflasi, yang sekarang diunjurkan akan melebihi 4% berikutan kenaikan harga tenaga.
Menurut Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), beberapa perkembangan telah dilihat ketika rangsangan dilaksanakan dan ini memperkuatkan faktor untuk pengetatan sederhana dalam dasar bank pusat walaupun masih terdapat ketidakpastian.
Bank pusat juga bersetuju bahawa pengetatan di masa depan perlu dimulakan dengan kenaikan kadar faedah walaupun sebelum program pembelian bon berakhir pada akhir tahun.
Ini secara tidak langsung telah meningkatkan harapan pelabur untuk melihat kenaikan kadar faedah lebih awal, yang mungkin akan menjadi bank pusat utama pertama yang meningkatkan kadar sejak pandemik Covid-19 melanda.
Pemain pasaran kini melihat kenaikan kadar pada tahun hadapan, yang akan dimulakan dengan peningkatan sebanyak 15 mata asas dari 0.10% secepatnya pada Mac 2022.
Jangkaan ini telah menyokong pengukuhan matawang pound dan hasil bon 2 tahun Britain ke tahap tertinggi sejak Mac 2020.
Pada mesyuarat polisi September, bank pusat sebulat suara memilih untuk mengekalkan kadar faedah pada 0.10% dan sasaran pembelian bon sebanyak £ 875 bilion.
Bagaimanapun, dua daripada sembilan anggota MPC memilih untuk menamatkan pembelian bon lebih awal, iaitu Dave Ramsden dan Michael Saunders.