Britain akan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar memberikan akses ke wilayah Xinjiang, China untuk menyiasat laporan berhubung pelanggaran hak asasi manusia di sana.
Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab akan mengutarakan laporan berhubung penderaan di Xinjiang, termasuklah penyeksaan, buruh paksa dan pemandulan wanita secara paksa.
“Kesemua perbuatan itu dibuat dalam skala yang besar.
“Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia PBB atau pakar penyiasatan fakta bebas lain, mesti dan saya ulangi mesti memberikan akses segera dan tidak ketat ke Xinjiang,” menurut Raab.
China dikecam secara meluas kerana membina kompleks di Xinjiang yang didakwa oleh Beijing sebagai ‘pusat latihan vokasional’ untuk membanteras kegiatan kumpulan pengganas serta memberi latihan kemahiran baharu.
Pengkritik China bagaimanapun menyifatkan kompleks terbabit sebagai kem tahanan.
Menurut PBB, kira-kira sejuta orang etnik Muslim Uighur dan beberapa etnik Muslim lain ditahan di Xinjiang.
Selain isu di Xinjiang, Raab juga mengutarakan perkara berhubung layanan yang tidak wajar terhadap pengkritik Rusia, Alexei Navalny selain krisis di Myanmar dan situasi di Belarus.
Beliau akan mencadangkan langkah-langkah yang sewajarnya untuk menangani kesemua isu terbabit termasuklah mengenakan sekatan dan menggalakkan negara-negara anggota lain bersetuju dengan saranannya.