Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan pergerakan rentas negeri bagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini ditangguhkan ekoran situasi penularan Covid-19 yang masih berada di tahap membimbangkan.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, cadangan itu dibuat berikutan rungutan serta rayuan pelbagai pihak agar kerajaan menangguhkan kebenaran pergerakan terbabit.
“Seperti kita tahu, kebanyakan negeri berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 28 April ini.
“Memandangkan kes harian masih meningkat dan belum lagi stabil, maka rentas negeri perlu ditangguhkan. Program vaksinasi juga masih dijalankan,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.
Malaysia mencatatkan 2,148 kes Covid-19 hari ini berbanding 1,889 kes semalam.
Ditanya mengenai kemungkinan mereka yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 dibenarkan untuk rentas negeri, Dr. Adham berkata, pihaknya masih menunggu dapatan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit yang berpengkalan di Amerika Syarikat (AS).
“Kita masih menunggu dapatan ini untuk mendapatkan keputusan sama ada perkara ini boleh dibenarkan,” jelas beliau.