China mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mahu menjalankan siasatan lebih lanjut tentang kaitan makmal di China dengan punca penularan wabak Covid-19.
Terdahulu, Presiden AS, Joe Biden mengatakan beliau mahu mengeluarkan keputusan laporan agensi perisikan berhubung asal-usul Covid-19 dalam tempoh 90 hari.
Kementerian Luar China mendakwa tindakan berkenaan adalah satu manipulasi politik dan AS cuba menyalahkan pihak lain.
Kementerian tersebut turut menolak sebarang kaitan antara Covid-19 dan makmal penyelidikan virus di bandar Wuhan, China.
Menurut jurucakap kementerian itu, Zhao Lijian, AS tidak ambil peduli dengan fakta atau kebenaran serta tidak berminat dalam kajian asal-usul berpandukan sains yang serius.
“Tujuan mereka adalah menggunakan pandemik untuk mengejar stigmatisasi, memanipulasi politik dan menyalahkan pihak lain. Mereka tidak menghormati sains, tidak bertanggungjawab kepada kehidupan orang lain dan tidak produktif terhadap usaha bersama untuk memerangi virus itu,” jelasnya.
Tambah Lijian, agensi perisikan AS juga mempunyai ‘sejarah hitam’ tentang menyebarkan maklumat yang tidak tepat.
Spekulasi mengenai Institut Virologi Wuhan, salah satu makmal penyelidikan virus terkemuka di China mulai tercetus pada awal tahun lalu dan disebarkan oleh bekas Presiden AS, Donald Trump.
Covid-19 pertama kali dikesan di Wuhan pada akhir 2019. Sejak itu, lebih 168 juta kes dilaporkan di seluruh dunia dan kira-kira 3.5 juta kematian dicatatkan.
Pihak berkuasa China mengaitkan kes awal Covid-19 dengan pasar makanan laut di Wuhan, menyebabkan para saintis beranggapan bahawa virus itu disebarkan kepada manusia menerusi haiwan.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan ‘mustahil’ untuk virus itu merebak daripada kebocoran di makmal. Rumusan itu disimpulkan selepas para pegawai WHO mengadakan lawatan ke Wuhan awal tahun ini bagi menyiasat asal-usul penyebaran coronavirus.
Ujar WHO, virus itu mungkin disebarkan daripada kelawar kepada manusia menerusi haiwan perantara lain tetapi teori itu memerlukan lebih banyak penyelidikan.